KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta ((RM44.26 juta) dan aset dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Sumber telah mendedahkan kesemua wang termasuk aset tersebut dipulangkan kepada kerajaan pada tahun lalu selepas siasatan SPRM selesai.

Menurut sumber, siasatan mendapati Rohana tidak mempunyai pengetahuan tentang sumber dana dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB yang dihantar oleh bekas rakan kongsi Goldman Sachs Inc, Tim Leissner.

Sehubungan itu, Rohana telah memulangkan keseluruhan jumlah  wang dan aset tersebut secara sukarela kepada kerajaan Malaysia.

Oleh yang demikian, kata sumber itu, siasatan membabitkan Rohana berkaitan dengan dana 1MDB selesai dan tiada tindakan undang-undang susulan terhadapnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan pemulangan wang AS$10 juta tersebut ketika dihubungi.

Sehingga kini jumlah keseluruhan aset 1MDB yang telah berjaya dikembalikan adalah sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih kurang 70 peratus.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai maklumat sama ada Rohana telah memulangkan AS$10 juta kepada kerajaan.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang sebelum itu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sama ada Rohana telah memulangkan wang itu kepada Kerajaan.