Tindakan netizen menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri di laman sosial mendapat kritikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menyifatkannya perbuatan sangat tidak beretika, Rohani berkata fitnah itu sudah berkali-kali dinafikan Nancy sejak ia dilemparkan pada 2015.

"Sepatutnya isu ini tidak timbul lagi kerana penjelasan telah dilakukan dan jelas ia merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu dengan memutarbelitkan kenyataan dan mereka-reka fitnah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rohani berkata cadangan kerajaan menggubal undang-undang bagi mengekang berita palsu memang tepat pada masanya agar penyebaran fitnah secara berleluasa dapat dibanteras bagi mengelak perpecahan dalam masyarakat dan menjaga keamanan negara.

"Saya menggesa netizen menghentikan penyebaran berita palsu ini dan agar masyarakat tidak mempercayai sewenang-wenangnya berita palsu dan fitnah tanpa menyemak dengan sumber sahih," katanya.

Beliau mengulas paparan di akaun Facebook di atas nama Lie Willies yang memuat naik kandungan memburuk-burukkan Nancy.

Polis dilaporkan sedang memburu pemilik akaun Facebook itu selepas menerima laporan daripada seorang awam di Balai Polis Sentral di Kuching, Sarawak berhubung perkara tersebut.

-- BERNAMA