KOTA BHARU: Rombongan kerajaan Kelantan ke Mesir  yang diketuai Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob pada 11 hingga 18 Ogos lalu merupakan program tahunan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hanya dua exco kerajaan Kelantan yang mengikuti rombongan itu.

Kedua-dua exco yang mengiringi Menteri Besar Kelantan ialah Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

"Ada program kerajaan spektrum namanya yang kita anjurkan tiap tahun untuk pelajar kita di sana supaya mereka terdedah dengan maklumat dan program kerajaan" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Himpunan Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri, di sini, malam tadi.

Lawatan rombongan kerajaan negeri itu sebelum ini mendapat reaksi netizen di laman sosial apabila turut mempersoalkan tujuan rombongan berkenaan.

Selain Menteri Besar dan dua exco itu, difahamkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, bekas exco, Zulkifli Mamat dan lebih 15 individu lain turut mengikuti rombongan berkenaan.

Sewaktu berada di Mesir, Mohd Nassuruddin dilaporkan patah kaki kanan kerana terlibat dalam satu kemalangan.

Program lawatan itu juga terhenti selama lebih dua tahun selepas Covid19 melanda dunia dan diteruskan baru baru ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Amar sekali lagi mengulangi pendirian tidak kisah dan marah sekiranya masyarakat menyelar atau menempelaknya selepas beliau dilabel sebagai bermulut lepas.

Sebaliknya, menurut Naib Presiden Pas itu, pandangan yang dilontarkan beliau berdasarkan persoalan yang diajukan kepadanya.

Mohd Amar berkata, beliau sengaja memberikan jawapan kasar bagi isu yang diajukan kepadanya kerana berpendapat, tindakan itu sesuai mengikut isu yang diutarakan.

"Kadang-kadang memang 'ambo' (saya) jawab kasar dan ia sesuai dengan isu tersebut.

"Kita kena faham, sebagai contoh Tok Guru (Arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dalam ucapannya ada menyebut perkataan 'barua'. Kita dengar perkataan 'barua' itu bunyi kasar. Tapi kalau kita tahu cerita, kita kena dengar ucapan dia, mengapa dia (Tok Guru) gunakan perkataan barua? Kita kena faham… macam itulah,"katanya ketika berucap pada Program Himpunan PN itu.

Perhimpunan yang bermula pukul 9.30 malam itu diadakan di Dataran Warisan berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyambut ulang tahun kedua penubuhan gabungan itu dan dihadiri oleh lebih 2,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN, Datuk Radzi Jidin, dan Setiausaha PN Negeri, Wan Roslan Wan Hamat.