Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah bersetuju untuk membenarkan pemilihan semula MIC, diadakan dari tempoh Julai sehingga Oktober.

Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata RoS telah memberi kebenaran itu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009-2013, susulan pemohonan jawatankuasa itu untuk berbuat demikian.

"Kami diberitahu mengenai perkara ini melalui satu surat bertarikh hari ini (23 Jun 2015).

"Ini adalah pengiktirafan RoS untuk CWC MIC yang kami dibenarkan mengadakan pemilihan semula dalam tempoh ini," katanya semasa satu sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Kesihatan di sini pada Selasa.


Sebelum ini, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi semua jawatan daripada presiden hingga ke peringkat cawangan bermula April hingga Julai.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat di antara Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya setelah RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas, yang mengarahkan parti tersebut mengadakan pemilihan baru bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 anggota CWC.

RoS membatalkan keputusan pemilihan yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan berlakunya penyelewengan.