DAP diminta mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang didakwa berlaku semasa pemilihan jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) parti itu, disember lalu.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman memaklumkan ia bagi mengenal pasti, sama ada silap kira undi tersebut berlaku atas faktor teknikal atau penyelewengan.

Abdul Rahman menjelaskan, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan salah satu isu utama yang masih disiasat ialah mengenai undi yang diperoleh calon bertanding.

DAP sebelum ini dilaporkan mengakui berlaku kesilapan pengiraan undi semasa pemilihan CEC parti itu pada Disember lepas dan dikaitkan dengan kesilapan teknikal.

Pada masa sama, ROS perlu membuat kenyataan untuk pengetahuan umum tentang kemajuan proses siasatan ros terhadap parti itu bagi mengelakkan manipulasi fakta seperti kandungan surat ROS bertarikh 17 April 2013 yang jelas dimanipulasi.

Sambil menyifatkan ia perbuatan tidak beretika, Abdul Rahman menekankan, ROS perlu menjalankan siasatan dengan lebih berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang manipulasi fakta.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 18 April lalu mendakwa menerima surat daripada ROS bertarikh 17 April.

Surat tersebut menyatakan ROS tidak berkuasa mengeluarkan surat watikah pelantikan kepada mana-mana calon parti menggunakan simbol parti iaitu roket pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau turut menjelaskan ROS tidak mempunyai niat untuk membatalkan pandaftaran DAP.