HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan pertemuan dengan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) berhubung laporan kenaikan harga roti yang dijadual berkuat kuasa 1 Dis ini.

Susulan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya meminta syarikat berkenaan mengemukakan justifikasi berhubung rancangannya menaikkan harga makanan berkenaan.

Katanya, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan mentah menjadi antara faktor utama Gardenia KL menyemak semula harga roti jenama Gardenia keluaran syarikat itu.

Namun, Rosol berkata, KPDNHEP meminta supaya cadangan kenaikan harga itu ditangguhkan dahulu bagi mengurangkan tekanan kepada pengguna ketika ini.

Menurutnya, kementerian dijangka menerima maklum balas mengenai saranan penangguhan kenaikan harga itu esok (29 Nov).

"Dikatakan, harga gandum dunia sudah meningkat kerana COVID, kerana cuaca, iklim dan sebagainya. Cara yang konservatif ialah dengan memberi subsidi.

"Tetapi pegawai kita telah berhubung dengan syarikat roti tersebut, bertanyakan kenapa perlu dinaikkan dan apa justifikasinya," kata Rosol ketika ditemui di sini semalam.

BACA: Roti Gardenia naik harga bermula 1 Disember

Terdahulu pada 25 Nov, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Dis ini.

Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.