KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan boleh menerima cadangan penubuhan jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan menilai tuntutan royalti petroleum asalkan dapat menghasilkan keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri akan menunggu maklum balas berhubung perkara tersebut.

“Kalau pihak kerajaan Persekutuan bersetuju apa-apa cadangan kita boleh terima asalkan kita boleh dapat keputusan yang terbaik untuk kedua belah pihak… itu yang penting.

“Kaedah itu teknikal sahaja bukan isu, kalau Persekutuan rasa perlu ada jawatankuasa bersama kita bersedia untuk ikut, kita tunggu sebab ini cadangan dari kerajaan Pusat, kalau dikemukakan secara rasmi Insya-Allah boleh dipertimbang,” kata beliau.

Mohd Amar berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas majlis penutup The International Palestine Art Competition Malaysia di sini, malam tadi.

Semalam Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesyorkan penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk mengkaji dan meneliti isu tuntutan royalti petroleum oleh kerajaan Kelantan.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan mencari titik persamaan dan penyelesaian berhubung tuntutan royalti minyak.

BACA: Kelantan sedia terima cadangan penubuhan jawatankuasa bebas asalkan dapat menghasilkan keputusan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

Jawatankuasa bebas yang disyorkan itu perlu dipersetujui kedua belah pihak, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob minggu lalu.

Dalam perkembangan sama, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pula berlainan dengan apa yang dicapai dalam pertemuan Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, pembayaran royalti tidak akan diberikan kepada Kelantan disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri itu.

Dalam masa sama, kerajaan Kelantan memohon penjelasan daripada kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Tengku Zafrul yang menjelaskan, Petronas tidak akan membuat pembayaran royalti kepada mana mana negeri termasuk Kelantan.