Pas menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) atas keputusan mengembalikan semula royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas kesediaan kerajaan berbuat demikian.

"Diucapkan terima kasih dan (keputusan ini) sangat positif kepada usaha untuk menghidupkan semangat federalisme yang dilemahkan dahulu," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Muktamar Tahunan Pas ke-64 di sini hari ini.

Turut hadir buat julung kali memenuhi undangan pada muktamar itu ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin UMNO yang lain.

Abdul Hadi berharap banyak lagi ruang diberi kepada kerajaan negeri terbabit khususnya dalam aspek peruntukan pembangunan, kemudahan prasarana dan peluang pelaburan yang seimbang, tanpa mengira perbezaan politik.

Dalam pada itu, beliau berkata Pas bersikap damai terhadap Pakatan Harapan yang memegang tampuk pemerintahan negara ini.

Katanya, Pas juga bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

"Pas tetap mengambil pendekatan politik damai dengan semua pihak termasuk musuh dan lawan, kerana inilah caranya untuk meramaikan ahli dan penyokong serta menjadi rahsia ketahanan Pas yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhannya, berbeza dengan pengalaman gerakan Islam di negara lain," katanya.

Beliau seterusnya berkata perlu ada sikap keterbukaan untuk meminda Perlembagaan dan akta-akta peninggalan penjajah dahulu ke arah memperkasa kedudukan Islam mengikut takrifnya yang sebenar, mengangkat hak Bumiputera dan bahasa kebangsaan di samping mengukuhkan sistem tadbir urus dan keadilan sosial dalam negara.

Pas turut mahu kerajaan pusat lebih berhati-hati dalam berhadapan dengan perang ekonomi antara kuasa besar khususnya China dan Amerika Syarikat serta bijak dalam soal membetulkan tanggapan salah terhadap Islam sehingga mencetuskan Islamofobia di negara barat.

-- BERNAMA