PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau kemasukan kes ke hospital dan lain-lain indikator susulan kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kembali meningkat kepada nilai 1.0.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapannya juga menasihati orang ramai agar hadir bagi mendapatkan dos penggalak selepas diberi tarikh janji temu.

"Ambillah (dos penggalak).

''Warga emas, elakkan berada di kawasan sesak," ciapnya pada Jumaat.


Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapnya memaklumkan Rt negara kembali kepada nilai 1.0 pada Khamis.

Dua wilayah dan empat negeri mencatat nilai Rt melebihi 1.0 iaitu Putrajaya (1.16), Kuala Lumpur (1.04), Selangor (1.03), Kelantan (1.02), Negeri Sembilan (1.01) dan Pahang (1.01).

Nilai Rt bagi negeri lain adalah Sabah (0.98), Kedah (0.98), Melaka (0.94), Perlis (0.94), Johor (0.93), Pulau Pinang (0.91), Terengganu (0.90), Perak (0.88) dan Sarawak (0.87).


Rt adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat.

Ia merujuk kepada keberjangkitan iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh virus yang dibawa oleh kes dalam wabak tersebut.


Artikel asal di Sinar Harian