BANGI: Ruang akademik tidak boleh ‘dicabul’ orang-orang politik dan sepatutnya diteraju mereka yang arif dalam bidang pendidikan, bukan ahli politik.

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menegaskan, era menghukum ahli akademik yang mengkritik kerajaan juga sepatutnya harus berakhir dan beliau mengharapkan Kerajaan Perpaduan memastikan ‘era punitif’ sebegitu dihapuskan.

Begitupun, beliau mengingatkan ahli akademik supaya menulis dengan berfakta dan sekiranya ada ahli akademik menjadi lidah parti politik, ia sedikit sebanyak menjatuhkan standard mereka.

“Universiti adalah untuk masyarakat. Universiti menjadi penyelesai kepada kemelut, masalah yang dihadapi negara dan berikan solusi. Itu peranan universiti.

“Bagi para intelektual, mereka merupakan pencerah kepada masyarakat dan menjad penyuluh kepada hala tuju.

"Maka mereka tidak boleh dikongkong oleh penguasa, tidak boleh terikat dengan ideologi apatah lagi dikawal oleh pemerintah yang sepatutnya datang dan pergi.

“Mereka tetap kekal ada walaupun ada waktu mereka menongkah arus tapi mereka juga mendokong dan mencorakkan arus.

“Maka ia perlu bermula dengan visi jelas pemerintah itu sendiri di mana mereka nak bawa pendidikan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Seminar Dasar Awam di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pada Jumaat.

Maszlee juga berharap agar kerajaan memberi autonomi kepada Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai otak kepada negara, penyelesai kepada masalah sebenar masyarakat.

“Pendidian itu begitu sarat dengan pengaruh politik, pernah cuba dicairkan tapi dengan realiti hari ini, usaha pencairan itu perlu kepada satu desakan daripada warga akademik itu sendiri supaya ia jelas berlaku.

“Walaupun di tampuk pemerintahan sekarng, ada orang reformasi tapi kena ingat, kerana ini Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Campuran atau apa saja namanya, kita tidak boleh harapkan keseluruhan agenda reformasi itu akan berlaku,” ujarnya.