Sembang-radin-sa.jpg
Jika mahu mengelak isteri menghidu gerak-geri suami, pelbagai taktik dan helah bijak diadaptasi. Lantas bagaimana isteri mahu mempercayai suami lagi?

Selepas selesai urusan di pejabat pos dan perbankan, Raden singgah ke rumah kakak sulung Raden, Dewi di Ara Damansara. Lama tidak bersua muka, sekadar bertanya khabar melalui WhatsApp, Raden gagahkan jua ke sana. Teringat kiriman WhatsAppnya minggu lalu “Tak puaslah update gosip di sini. Jom jumpa. Boleh bertepuk tampar lantas dari mata turun ke hati, baru puas hati!” Dewi adalah kakak sulung Raden dan naluri serta sifat keibuannya mirip bonda kami.
Cuma yang berbeza adalah Dewi kuat gosip. Boleh sakit kepala katanya jika setiap hari dilalui tanpa mengikuti dan mengetahui apa jua gosip. Baik hiburan, golongan VIP, VVIP hatta gosip dalam kalangan pembantu rumah sekalipun dia mampu selidiki dan ketahui secara terperinci. Setibanya Raden di hadapan rumah, pintu pagar automatik dibuka.
“Mesti nak aku duduk lama kalau dah suruh parking kat dalam ni,” bisik hati Raden. Usai pintu utama dibuka, kelihatan Dewi tergesa-gesa.
“Bagus juga kau datang rumah aku hari ini Raden. Nak ikut aku pergi kafe GG tak?” soalnya sekadar mencetus rasa teruja agar Raden turut serta. “Kafe GG? Tak pernah dengar pun. Kafe barukah?” tanya Raden inginkan kepastian. “Kafe geng gosiplah (GG) di rumah Ruby. Jomlah Raden lagipun budak-budak tak balik sekolah lagi,” beria Dewi meyakinkan agar Raden mengikutnya.
Niat asal Raden yang pada mulanya sekadar ingin bersua muka dan bertanya khabarnya tidak semena-mena melencong ke jalan lain pula. “Ini bukan sebarang kafe Raden. Kafe GG ini tempat kami luahkan segalanya terutamanya bab rumahtangga. Macam-macam update kami kongsi. Nanti kau akan jumpa Ruby, Shikin, Nita, Mazni dan Sherry,” jelas Dewi sambil menceritakan serba sedikit latar belakang setiap ‘pelanggan tetap’ Kafe GG.
maxresdefault.jpg
Raden sekadar mendengar sepintas lalu setiap nama juga personality masing-masing yang digembar-gemburkan Dewi. Mana mungkin Raden mampu mengingati semuanya apatah lagi belum pernah berjumpa. Tiba di rumah Ruby yang dinobatkan sebagai Kafe GG, kedatangan kami disambut mesra oleh semua ‘pelanggan tetap’ yang ada. Nyata mereka senang dengan kehadiran Raden walaupun pertama kali menjejakkan kaki ke sini. “Okay let’s start with you Shikin.
How’s your husband? Buat perangai lagi tak?” tanya Ruby. Shikin terkulat-kulat ingin menjawab pertanyaan Ruby.

Mungkin malu untuk menceritakan kisah rumahtangganya kerana ada ‘orang luar’ yakni Raden di hadapannya. Memahami kejanggalannya, Raden meminta izin untuk pulang ke rumah Dewi dengan alasan tertinggal telefon bimbit. Namun disekat oleh Ruby. “Ini mesti taktik you nak escapekan Raden. It’s okay, just stay until we wrap up the session. I’m sure at the end of the day, you will learn something,” penuh yakin Ruby memberi penjelasan. Lantas Shikin membuka mulut memulakan cerita.
“Masih sama. Lebih teruk lagi dia tak berenggang dengan telefon bimbit. Hingga soal anak pun tak dipedulikan lagi,” jelasnya sambil mata mula berkaca. Shikin mengeluh panjang seraya tangannya diusap perlahan oleh Mazni tanda memahami perasaannya kala itu. Wajah Dewi pula seakan menahan marah, geram barangkali mendengar perilaku suami Shikin. Ruby memintas, “Dari dulu lagi we all dah cakap, just let him go. Kalau cinta sekalipun takkan sampai you yang makan hati macam ini. You have tried your very best untuk pulihkan masalah rumahtangga tapi apa effort dia? Semakin hari semakin sibuk bercinta dengan budak hingusan itu. Just move on Shikin, open your eyes and make up your mind. Fikirkan masa depan anak-anak you. Mereka lebih perlukan you daripada Papa dia orang,”
Bertubi-tubi Shikin menerima smash daripada Ruby. Dewi pula mengangguk tanda setuju. Shikin tunduk membisu barangkali terkedu mendengar hujah juga suara lantang Ruby. Dengan nada suara yang perlahan sambil menyapu sisa air mata dia berkata, “Nantilah I bincang dengan Zairi. Kalau tiada jalan lain, terpaksalah kami bawa haluan masing - masing,” seakan akur dengan kenyataan Ruby, Shikin nekad akan memberi kata dua kepada suaminya.
Semakin rancak perihal rumahtangga pelanggan Kafe GG, kini giliran Sherry pula membongkar ceritanya.

“Siapa yang nak kahwin tetapi sudahnya bercerai-berai. Tapi kalau itu yang terbaik, you have to face it Shikin. Macam I, walaupun dah tiga tahun berpisah dengan Murad sampai sekarang dia masih tergila-gilakan I. Bukanlah nak bangga pula tapi bagi I, selagi dia tak betul-betul berubah, I dan anak-anak takkan terima dia semula,”
Jelas Sherry dengan nada tegas. Dan dalam diam Raden kagum dengan prinsipnya. “Siapa tahu lima atau 10 tahun akan datang you dan Murad rujuk semula macam itu,” ulas Dewi sambil mengunjukkan jari ke kaca televisyen. Siaran ulangan rancangan Romantika menampilkan pasangan Dato’ Hattan dan Datin Ariani yang kembali rujuk selepas lapan tahun berpisah. Sherry pula sekadar mengangkat kening dan tersenyum sinis.
Hidangan di atas meja mula diangkat pembantu rumah Ruby dan kami beralih tempat ke gazebo di laman rumah. Sambil menghirup teh panas, Ruby bersuara, “Kita orang perempuan tak boleh letakkan kepercayaan pada suami 100 peratus atau secara mutlak. Rasa curiga, was-was, cemburu dan syak wasangka yang relevan perlu ada. Macam I, setapak kaki Lokman melangkah keluar, I cuma percaya apa yang dia cakap dalam 50 peratus aje. Selebihnya I akan soal siasat sendiri,” hurainya dengan terperinci.
“Tapi dalam Islam bukankah tak baik kalau kita syak wasangka yang bukan-bukan pada suami? Bersangka baik itu dituntut sesama suami isteri,” giliran Dewi pula berhujah. Seakan tidak sabar menyambung hujah seterusnya, Ruby bangun dari kerusinya. Tak ubah seperti persidangan di Parlimen, rakan seangkatan yang lain turut mahu bersuara tetapi Ruby lebih pantas memintas.
“Betul cakap you Dewi tetapi bersangka baik biarlah bertempat. Takkan kalau suami you balik rumah jam empat pagi jalan terdengkot-dengkot you nak bersangka baik lagi?” terang Ruby penuh yakin. Firasat Raden meramalkan Ruby lebih dominan berbanding suaminya dalam perihal rumahtangga mereka. Masakan tidak, setiap isu berkaitan suami rakannya yang lain dibidas dengan kenyataan pedas. Mazni yang sudah lama menyepi pula mencelah tiba-tiba.
“Ada betulnya apa yang Ruby cakap. Soal kepercayaan sesama suami isteri perlu dipupuk. It takes time to build up trustworthy among each other. Tapi jangan sampai tak percaya suami langsung pula. Kalau asyik syak wasangka, porak peranda rumahtangga,” hurai Mazni lagi. Raden selaku orang luar lebih selesa berdiam diri. Apa yang dirasakan wajar dan kena pada masanya, Raden memberi pendapat sendiri. “Lagi satu, lelaki ini jangan diberi muka sangat,” tiba-tiba kedengaran suara Nita dari ruang belakang dapur. “You dari mana Nita? Tahu-tahu menyampuk saja,” soal Sherry kehairanan. “I pergi tandas tadi. You all berhujah macam ahli Parlimen, manalah sedar I ke belakang tadi. Berapi-api statement masing-masing, I dalam tandas pun masih belum ketinggalan dengan cerita you all walaupun tak duduk bersila di gazebo ini,” jelas Nita disambut hilai tawa semua.
“Back to my statement earlier, orang lelaki ni kalau buat salah kena ajar sikit. Jangan beri muka sangat. Kalau ego dia tinggi melangit, ego kita pun perlu slightly lower. Walau macam mana baik sekalipun lelaki itu, sifat nakal, gatal dan miangnya tetap ada. Cuma kita perlu bijak dan peka setiap perilaku mereka. Jika tak semena-mena berubah drastik, selidik dahulu daripada setiap sudut,” jelas Nita panjang lebar. Setiap input dan tips yang diberi disambut baik oleh Shikin yang seolah-olah akan mempraktikkannya pada suaminya.
Tidak mahu ketinggalan, Raden mencelah “Macam lirik lagu Yuna, tajuknya Lelaki. Raden menghirup teh o panas dan dengan selamba berdehem ingin membetulkan suara untuk menyanyikan bait-bait lirik lagu itu.

“Kau fikir ku apa,
Siang malam engkau yang punya
Kau datang dan kau pergi
Kau buat aku begini
Oh lelaki
Tak guna ku berikan semua...”
Two-business-colleagues-talking.jpg
Tamat perkataan terakhir, mereka menepuk tangan sambil memuji suara halus Raden. “Hmm...not bad,” kata Ruby sambil menepuk bahu Raden. “Memang kenalah lirik lagu Yuna tu. Sekarang juga I nak download,” jelas Sherry penuh semangat. Daripada pandangan Raden, tidak semua lelaki sama sifatnya walaupun seringkali kita dengar alasan isteri-isteri,
“Ah, kalau dah namanya lelaki semua sama saja. Tak boleh percaya.” Ia terpulang kepada setiap individu untuk meletakkan kepercayaan kepada suami pada tingkat yang mana. Sama ada kena pada tempatnya atau percayakan suami 100 peratus itu relatif. Ia bertitik tolak daripada suami melafazkan ijab dan kabul. Secara simboliknya ia adalah isyarat si isteri mempercayai dan yakin akan kreadibiliti suami untuk mengemudi bahtera rumahtangga. Selebihnya cari titik persefahaman, komunikasi, tingkatkan ilmu agama dan jujur dengan pasangan agar suami dan isteri memahami tanggungjawab dan amanah yang perlu dipelihara. Moga hidup kalian kekal bahagia di bawah lindungan-Nya hingga ke syurga.