KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang didakwa menyebarkan maklumat sulit penghuni rumah kebajikan itu.

Dalam satu kenyataan, Rumah Bonda menjelaskan pihaknya memandang serius perbuatan sedemikian selain kenyataan dikeluarkan pihak terbabit kononnya terdapat kegiatan pemerdagangan bayi dilakukan di rumah kebajikan berkenaan.

Rumah Bonda mendakwa maklumat sulit yang kini tersebar di media sosial telah didedahkan secara tidak bertanggungjawab oleh bekas kakitangan rumah kebajikan itu.

“Pertubuhan Rumah Bonda dengan ini menegaskan bahawa pada bila-bila masa Pertubuhan Rumah Bonda tidak mengizinkan rekod-rekod sulit bekas penghuni disalahgunakan dan disebarkan sedemikian rupa.

“Pertubuhan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak-pihak tertentu yang telah menghubungi dan mengganggu keluarga-keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda.

“Pertubuhan Rumah Bonda telah merujuk perkara ini dengan pihak peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” kata kenyataan tersebut.

BACA: "Ada apa-apa kaitan ke dengan Rumah Bonda?" - TMJ persoal ke mana pergi ahli politik

BACA: Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan

Rumah perlindungan itu memaklumkan, Rumah Bonda merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Pertubuhan itu menafikan dakwaan berlaku permerdagangan bayi dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai dakwaat tersebut.

Jelasnya, rumah perlindungan itu menyediakan tempat kepada remaja dan wanita hamil tanpa nikah, teraniaya serta terlibat dengan gejala sosial.

Rumah Bonda juga memberi perlindungan sementara kepada bayi yang dilahirkan luar nikah dan tidak diterima keluarga; serta menjaga bayi dan kanak-kanak yang sedang menjalani kes-kes mahkamah buat sementara waktu.

“Sejak penubuhannya, rumah perlindungan Rumah Bonda telah menempatkan keseluruhan seramai 62 orang remaja dan wanita hamil serta wanita teraniaya dan seramai 50 orang bayi telah dibantu untuk dilahirkan di hospital secara selamat,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melalui Perintah Mahkamah Kanak-Kanak juga ada menghantar kanak-kanak yang tiada waris dan remaja hamil luar nikah yang memerlukan perlindungan ke rumah perlindungan Rumah Bonda.

Baru-baru ini tular di media sosial gambar kanak-kanak yang lahir di rumah perlindungan tersebut.

Kanak-kanak terbabit dikatakan anak kepada salah seorang saksi kes melibatkan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Terdapat dakwaan mengatakan kanak-kanak tersebut telah ambil sebagai anak angkat oleh seorang artis.