Rumah Putih enggan ulas mengenai laporan Ukraine gagalkan plot cubaan bunuh Zelensky

Bernama
Ogos 8, 2023 04:07 MYT
Agensi perisikan Ukraine mengumumkan pihaknya telah menahan seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan bunuh Zelensky. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre enggan mengulas mengenai laporan mengenai Ukraine menggagalkan cubaan bunuh Presiden Volodymyr Zelensky, lapor Sputnik.
Terdahulu, agensi perisikan Ukraine mengumumkan pihaknya telah menahan seorang wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan cubaan bunuh Zelensky.
"Saya melihat laporan itu. Saya belum berpeluang untuk berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai perkara ini... cuma tidak akan mengulas daripada sini," kata Jean-Pierre kepada pemberita pada Isnin.
Setiausaha akhbar Rumah Putih meminta wartawan merujuk kepada kerajaan Ukraine untuk mengulas mengenai kejadian itu.
Menurut agensi perisikan Ukraine, wanita itu cuba untuk mengetahui waktu dan senarai lokasi yang bakal dikunjungi oleh Zelensky di rantau selatan Ukraine.
-- BERNAMA
#White House #Presiden Ukraine #Volodymyr Zelensky #cubaan bunuh