KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu meraikan pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang dengan memberikan insentif bernilai RM350,000 merangkumi sebuah kediaman bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000.

Penyerahan insentif kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada Rabu.

Menurut Ahmad Samsuri, kemenangan atlet yang juga anak jati Terengganu itu bukan sahaja membanggakan negara dan negeri, bahkan, Azizulhasni juga menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat.

Ahmad Samsuri berkata, insentif tersebut diharap dapat melonjakkan lagi semangat atlet tersebut untuk menempa kejayaan dan kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu pelumba terbabit.

“Insya-Allah selepas ini apa sahaja keperluan kesukanan yang diperlukan oleh beliau dan rakan-rakan atlet lain yang boleh menunjukkan satu prestasi yang dibanggakan Insya-Allah kerajaan negeri akan peruntukan dan akan terus membantu setakat yang kami boleh,” kata Ahmad Samsuri.

Sementara itu, Azizulhasni bersyukur dan berbesar hati dengan pengiktirafan kerajaan Terengganu untuknya.

Dalam masa sama, beliau berharap kejayaannya dapat menjadi motivasi buat atlet Terengganu dan lebih ramai atlet negeri ini mampu berjaya hingga ke peringkat antarabangsa.

BACA: Azizulhasni beri bayangan bersara selepas Olimpik Paris 2024

Terdahulu, Azizulhasni memberi bayangan akan bersara dalam arena sukan berbasikal.

Kata pelumba berusia 33 tahun itu, Sukan Olimpik Parid pada 2024 mungkin penampilan terakhirnya sebelum bersara.

Pada 8 Ogos lalu, Azizulhasni mencatat rekod sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara berbasikal trek di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 8 Ogos.

Sebelum ini, beliau juga melakar kecemerlangan apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gangsa dalam Sukan Olimpik di Olimpik Rio 2016 dan warga Malaysia pertama memenangi emas di dalam acara berbasikal trek Kejohanan Dunia 2017.