GEDONG : Syor Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan untuk mewujudkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang baharu sepatutnya tidak perlu dibangkitkan sama sekali.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg malah menganggap, hal itu seolah-olah memulakan langkah untuk membatalkan perjanjian yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.

Ujarnya, rundingan antara kerajaan negeri dan pusat berhubung MA63 ketika ini berjalan dengan baik terutama dalam usaha mengembalikan syarat-syarat perjanjian yang telah terhakis serta memenuhi tuntutan kedua-dua negeri itu termasuk yang terkandung di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Perjanjian inilah yang menubuhkan negara ini dan telah dipersetujui oleh para pemimpin kita terdahulu apa yang berlaku sekarang ialah kebanyakkan daripada syarat-syarat dipersetujui telah terhakis, apa yang kita buat sekarang ialah untuk membetulkannya.

“Kita (Sarawak) tidak perlu untuk bersusah payah membuat perjanjian yang baharu kerana tindakan ini secara tidak langsung mengakibatkan  asas kepada Perjanjian Malaysia 1963 dipersoalkan.

“Apa yang diusulkan oleh Tok Mat sepatutnya tidak perlu dinyatakan dan apa yang kita kehendaki ketika ini ialah pelaksanaan syarat-syarat yang telah termaktub di dalam MA63 dan IGC,” katanya selepas majlis penyerahan  lembu dan daging korban kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Ahad.

Sebelum ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Jawatankuasa Rundingan MA63 Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan usul mewujudkan MA63 yang baharu adalah tidak masuk akal.

Kedua-dua pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu percaya perkara tersebut akan mengganggu kestabilan pentadbiran dan politik dalam negara.