KUALA LUMPUR: Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian runtuhan struktur pembinaan di Lebuh Raya Sungai Besi-Hulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak sempat berhubung dengan suaminya ketika masih berada di bawah runtuhan itu.

Zakiah Yaakop, 51 , merupakan seorang daripada lima mangsa yang terperangkap dalam sebuah van kilang yang dihempap runtuhan struktur besi.

Dia dan seorang lagi rakan sekerja wanita serta pemandu van kilang terselamat namun dua rakan mereka disahkan meninggal dunia.

Terdahulu, Zakiah dihubungi suaminya, Kamarulzaman Awang melalui telefon ketika dia masih belum dikeluarkan dari runtuhan berkenaan. 

"Dia memaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun mengalami kesukaran untuk bergerak.


Nahas | Lima mangsa dipercayai terperangkap bawah runtuhan

BACA: Runtuhan struktur besi binaan SUKE: 2 mangsa disahkan maut, 3 selamat - Polis

"Saya berasa amat bimbang dan berusaha menenangkannya dengan memberitahu bomba sedang berusaha mengeluarkan mereka," kata Kamarulzaman ketika ditemui Astro AWANI ketika operasi mengeluarkan semua mangsa masih berlangsung malam ini.

Kesemua mangsa merupakan warga tempatan berusia antara 30 hingga 45 tahun dan mangsa yang maut merupakan dua wanita yang merupakan pekerja kilang.

Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd (PROLINTAS), pemaju bagi projek pembinaan SUKE dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa terdapat satu kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori treler yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE lewat petang tadi