KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dicadang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, keputusan sama ada RUU tersebut dibenarkan untuk dibahas atau tidak adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai RUU itu juga mencadangkan sesi libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara bersama Ahli Dewan Rakyat Kerajaan diadakan pada 25 Julai 2022.

BACA: RUU Antilompat Parti: Kabinet sudah dimaklumkan cadangan pindaan - Wan Junaidi

Manakala libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang akan berlangsung pada 26 Julai 2022.

Mesyuarat tersebut juga mencadangkan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara diadakan pada 8 Ogos 2022 dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos 2022 diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022.

BACA: Draf RUU Antilompat Parti selesai, hampiri usaha hapuskan 'koloni katak' - Azalina

“Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang tersebut akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan.

“Pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jubli Emas UM | RUU Antilompat Parti dibentang akhir Julai

Tambahnya, perkembangan terbaharu itu susulan mesyuarat pada Rabu berjaya memuktamadkan draf RUU tersebut dan meneliti draf penyata yang bakal dibentangkan di persidangan Parlimen bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos 2022.

“RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti serta penyata (Laporan) daripada jawatankuasa pilihan khas tersebut akan dibentangkan atau diletakkan di atas meja Ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Julai 2022.

“Penyata (Laporan) dan pindaan perlembagaan itu akan dijadikan rujukan kepada semua Ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.

Politik | RUU Antilompat Parti mampu kukuhkan parti politik

Astro AWANI sebelum ini melaporkan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah dimaklumkan kepada jemaah menteri.

Jelas Wan Junaidi, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun turut memberi penjelasan kepada jemaah menteri berkaitan pindaan Perlembagaan itu.

Katanya, tiada bantahan terhadap draf berkenaan dalam kalangan jemaah menteri seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.