KAJANG: Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa membentangkan Rang Undang-undang  (RUU) Antilompat Parti kerana ada beberapa definisi yang perlu dihalusi dan dijelaskan secara teliti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, ketika dibentangkan dalam Kabinet, ada beberapa aspek yang mengelirukan.

"Bila kita kata lompat parti ini ia sepatutnya ada definisi yang boleh diterima oleh semua pihak. Ada beberapa perkara yang dibentangkan dalam Kabinet, ada perkara yang mungkin mengelirukan.

"Sebagai contoh, seseorang yang dipecat oleh parti tidak boleh pergi ke mana-mana parti yang lain," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang di sini, pada Selasa.

[TERKINI] Sidang media pasca Majlis Sambutan Hari Penjara ke-232

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, adalah menjadi hak seseorang untuk mempunyai ketegasan dalam parti dan perlu diambil kira.

"Kalau dia tidak puas hati dengan kepimpinan parti yang melakukan perkara-perkara yang salah, dia bertegas... berlawan sehinggakan dia dipecat.

"Apakah dia juga dianggap dia tidak boleh pergi ke parti lain? Apakah itu dianggap sebagai lompat parti?” soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, Kabinet sudah pun bersetuju untuk mengadakan akta berkenaan cuma memerlukan perincian lanjut kerana ia perlu kekal relevan untuk satu jangka masa yang panjang.

Sambil mengetengahkan kedudukan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, RUU berkenaan akan memberi peluang kepada presiden parti melakukan salah guna kuasa sekali gus menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

"Pembangkang mungkin tidak tahu apa yang saya jelaskan ini, jadi kita tak salahkan mereka mahu pun kerajaan dan kita hendak selesaikan sesuatu akta biarlah ia boleh diterima pakai bukan hanya untuk tahun ini atau tahun depan semata-mata… tetapi boleh digunakan berpanjangan sehingga tempoh yang kita rasa sesuai digunakan dalam landskap politik negara ketika ini," tambahnya.

Ahad lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti diluluskan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022 Mac ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai bersama kerajaan memerintah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu.