KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Gesaan itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan malam ini.

Kenyataan itu mendesak agar Perdana Menteri menunaikan janji untuk memberikan komitmen bagi membahaskan RUU tersebut.

Selain RUU, mereka turut menggesa Sidang Khas Parlimen membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini, antaranya isu kos sara hidup dan inflasi.

"Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik COVID-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

"Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan," kenyataan itu menyebut.