KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyelar Datuk Seri Rina Mohd Harun susulan kenyataan menggesa mangsa gangguan seksual supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual.

Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara mendakwa, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menunjukkan beliau tiada sifat empati kepada mangsa gangguan seksual di negara ini.

Justeru, beliau menggesa agar Rina dan kementerian menyegerakan pembentangan RUU Gangguan Seksual di Parlimen untuk diluluskan dan dilaksanakan.

"Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan menteri menunjukkan bahawa beliau tidak peka dan tidak faham bahawa disebabkan tiada undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dilakukan.

"Cadangan menteri yang tidak munasabah juga menunjukkan beliau sebenarnya tidak ada langsung mempunyai “political will” untuk meneruskan usaha yang telah dijalankan oleh menteri dan timbalan menteri KPWKM sewaktu pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu RUU Gangguan Seksual dan pembelaan terhadap mangsa kes gangguan seksual," dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam Rina berkata, RUU baharu mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

Justeru, beliau menggesa mangsa gangguan seksual supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan RUU Gangguan Seksual.

BACA: Rara mengaku sedang mengenali hati budi seorang jejaka

Mengulas lanjut, Rara yang juga Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan mempersoalkan alasan Rina bahawa RUU tersebut mengambil masa untuk digubal, sedangkan beliau telah menjawat jawatan sebagai menteri di KPWKM sebanyak dua kali.

"Adakah menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini?

"Peningkatan kes gangguan seksual sejak kebelakangan ini amatlah membimbangkan. Ia berlaku sama ada secara maya atau pun secara langsung dalam kehidupan kita.

"Ramai mangsa yang tidak mahu tampil membuat laporan kerana mereka merasakan bahawa mereka tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Oleh sebab itu pentingnya RUU Gangguan Seksual ini untuk dibentangkan dan diluluskan sesegera mungkin bagi memberikan jaminan kepada mangsa bahawa mereka mempunyai hak untuk melindungi dan dilindungi oleh peruntukan undang-undang di dalam negara ini," tambahnya.

Rara turut mendedahkan bahawa beliau pernah berdepan gangguan seksual melalui mesej lucah diterima di laman Facebook rasminya.

Katanya, laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat, namun kes hanya boleh disiasat dengan menggunakan peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, iaitu mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukan apa-apa benda, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Tiada satupun daripada peruntukan yang digunakan untuk menyiasat kes ini merujuk dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai satu jenayah gangguan seksual dan si pelaku tidak boleh didakwa apa lagi disabitkan kesalahan ke atas jenayah gangguan seksual yang dilakukannya.

"Ini adalah contoh kes yang berlaku secara maya. Terdapat banyak lagi jenis gangguan seksual yang berlaku di dalam negara ini dan ia tidak hanya dialami oleh kaum wanita.

"Gangguan seksual secara lisan dan melalui sentuhan juga selalu berlaku terutamanya di tempat kerja dan perkara ini bukan perkara yang kecil untuk dilupakan atau diketepikan. Setiap mangsa gangguan seksual terpaksa hidup dalam keadaan yang penuh trauma dan malang sekali tiada pembelaan sewajarnya kepada mereka," katanya.

Sehubungan itu, Rara meminta agar Rina lebih peka dengan isu di bawah pengawasan kementeriannya dan berhenti memberikan alasan terhadap penangguhan pembentangan RUU Gangguan Seksual di Parlimen.