KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meminta agar cadangan untuk mengenakan denda kepada pemilik restoran atau premis makanan diperhalusi dan dikaji semula dalam Akta Kawalan Tembakau dan Rokok 2022.

Menurut Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan, pemilik atau petugas restoran tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pelanggan merokok, sebaliknya hanya boleh memberi teguran.

Namun, katanya, disebabkan kedegilan pelanggan yang tidak mematuhi peraturan, pengusaha restoran yang perlu menanggung denda tersebut.

"Justeru, PRESMA berharap pembentangan RUU ini akan mengambil kira semua aspek bagi memastikan usaha yang baik ini berjaya dilaksanakan tanpa memberi masalah kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jawahar berkata, pembentangan RUU tersebut sememangnya ditunggu semua pihak kerana jika dilaksanakan bagi generasi yang lahir selepas 1 Jan 2007, ia bakal memberikan kesihatan yang baik untuk rakyat Malaysia.

Ini, katanya, turut akan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkaitan rokok.

"Sebagai pengusaha restoran yang berurusan dengan pelanggan setiap hari, sudah tentu ia berita menggembirakan buat ahli PRESMA kerana mereka berdepan pelbagai masalah bersama pelanggan terutama membabitkan isu merokok.

"Inisiatif untuk melahirkan generasi muda sihat menerusi dasar Generation End Game (GEG) ini bakal memberi keselesaan kepada pelanggan untuk menikmati udara lebih segar di premis.

"PRESMA juga menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia memperhebatkan operasi larangan merokok di tempat awam, termasuk restoran, untuk membudayakan norma baharu," ujarnya.