PUTRAJAYA: Larangan menerima dana daripada pihak yang mempunyai kepentingan dalam kerajaan, negara luar dan badan bukan kerajaan dari luar adalah antara perkara yang akan dimasukkan dalam garis panduan penyediaan Rang Undang-Undang Sumbangan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, turut dimasukkan ialah larangan menerima sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat yang menerima lesen atau geran daripada kerajaan.

"Satu lagi yang dibincangkan adalah syarikat yang mendapat kontrak daripada kerajaan ini, jangan nanti dia jumpa menteri... bagitau pihak dia ada sumbangkan dalam dana politik, jadi kena bagi kontrak kepada syarikat dia.

"Itu antara garis panduan, ia belum dilibat urus (bersama Ahli-Ahli Parlimen) lagi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, bentuk hukuman dan denda di bawah rang undang-undang yang dicadang untuk dibentang pada persidangan Parlimen Oktober depan akan turut dibincang.

"Ada hukuman kalau Ahli Parlimen kena denda banyak itu, dia boleh hilang kelayakan, kalau hilang kelayakan di bawah Perlembagaan, dia kena hilang kerusi, kena ada pilihan raya, jadi semua benda ini kita kena ambil kira.

"Siapa yang kena hukum masih dibincang, adakah kita nak hukum penerima sahaja atau penyumbang juga," katanya.

Pada 19 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rang undang-undang itu secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, rang undang-undang itu penting kerana sehingga kini, masih tiada undang-undang atau peraturan dalam negara yang mengawal selia pembiayaan politik.

Pembiayaan politik merujuk cara parti politik dan ahli politik mengumpul wang untuk kempen pilihan raya, operasi harian serta aktiviti lain. - BERNAMA