KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 dan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) akan dibentangkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri, sebaik ia dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, ia dijangka dibentangkan pada Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadual pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Jelas beliau, sepanjang 2020 dan 2021, jawatankuasa teknikal telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan kedua-dua RUU tersebut.

"Kedua-dua RUU ini tidak pun melibatkan orang bukan Islam, ia hanya melibatkan untuk orang Islam sahaja.

"Sebenarnya RUU ini adalah Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam sahaja. RUU ini bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama dari kalangan orang bukan Islam.

"Orang-orang bukan Islam bebas nak menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka, tidak dalam kalangan orang Islam," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, bagi RUU355, Idris berkata perbincangan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jakim melihat kepada pelbagai aspek khususnya aspek Perlembagaan Undang-Undang dan Hukum Syarak.

Ia katanya, bagi memastikan RUU tersebut lebih komprehensif dan seterusnya memperkasakan bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

"Berhubung RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam pula, jawatankuasa teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil, khususnya bagi meneliti secara lebih mendalam RUU tersebut.

"Seterusnya, mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU tersebut bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.