KUALA KANGSAR: Enam individu dari Negeri Perak yang dilantik sebagai antara anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini akan memberi kesan positif kepada negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau yakin pelantikan Kabinet itu juga dilihat mampu melonjakkan sektor pembangunan di Perak.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi kepercayaan kepada enam orang dari Perak untuk mengemudi beberapa kementerian yang agak penting. 

“Jadi mudah-mudahan dengan adanya enam orang anggota Kabinet dari Perak itu sudah tentu (kita yakin ia) sedikit sebanyak dapat melonjakkan juga pembangunan di Negeri Perak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang ke-15 di Dewan Jubli Perak dekat sini, pada Sabtu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan berangkat menyempurnakan istiadat konvokesyen berkenaan. 

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

Pada masa sama, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak yakin pengumuman senarai Kabinet yang dibuat Perdana Menteri semalam juga dapat menarik keyakinan lebih ramai penggiat industri untuk melabur di Perak.

“Secara kebetulan, memang kita di Perak sedang berusaha keras untuk membuat persiapan bagi menarik pelabur untuk mengisi tapak-tapak taman industri baru yang sedang kita bina.

“Justeru dengan pengumuman (senarai Kabinet) semalam, saya yakin pelabur-pelabur akan melihat Perak sebagai potensi baru untuk pelaburan dalam Malaysia” jelas beliau lagi.

Saarani terdahulu diminta mengulas berkenaan pelantikan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang diumumkan Anwar pada Jumaat malam.

Kabinet Kerajaan Perpaduan | Pengumuman Kabinet Kerajaan Baharu oleh Perdana Menteri


Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengumumkan senarai 28 menteri termasuk beliau yang memegang portfolio Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Pengerusi BN Kebangsaan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

Seorang lagi dari BN, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Intan daripadaPakatan Harapan (PH) Nga Kor Ming memegang portfolio Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.

Dua lagi  Ahli Parlimen PH lain, iaitu Chan Lih Kang (Tanjung Malim) dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sementara VN Sivakumar (Batu Gajah) diberi kepercayaan menjawat jawatan Menteri Sumber Manusia.