KOTA KINABALU: Sabah berada pada landasan tepat untuk trend pelandaian kes, dengan 677 kes positif baharu dicatatkan pada hari ini.

Jurucakap berkaitan COVID-19 negeri ini, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia merupakan angka terendah yang dicatatkan sejak 24 Julai lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata sikap masyarakat akan menjadi penentu utama kepada arah trend tersebut.

"Analisis graf data terkini menunjukkan negeri Sabah berada dalam landasan untuk trend pelandaian kes.

"Namun, sekali lagi diingatkan bahawa faktor utama kepada naik atau turunnya graf jangkitan kes baharu adalah sikap kita sendiri.

"Pematuhan secara keseluruhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP) dan amalan baik penjagaan kesihatan diri adalah kunci utama kepada kekebalan kita daripada jangkitan virus COVID-19," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi yang juga merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata penurunan keseluruhan yang dicatatkan hari ini menunjukkan prestasi, dengan 21 daerah mencatatkan penurunan kes.

"Manakala, hanya lima daerah mencatatkan peningkatan kes dan satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan kes sebagaimana semalam.

"Hanya tiga daerah yang mencatatkan kes di atas paras 50 kes, iaitu Kinabatangan (107 kes), Kota Kinabalu (94 kes) dan Keningau (78 kes)," katanya.

Jelas beliau, peningkatan drastik dalam jumlah kes di daerah Kinabatangan adalah berpunca daripada kewujudan dua kluster baru iaitu Kluster Sungai Tabulion dan Kluster Sandau Sawit.

Kedua-dua kluster ini menyumbang 82.2 peratus daripada kes yang direkodkan hari ini di Kinabatangan.

Sementara itu, terdapat sembilan kes kematian dilaporkan pada hari ini, iaitu empat kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Keningau, Beluran, Tawau, Tenom dan Sandakan.