RANAU:Talian satelit atau V-Sat digunakan oleh kerajaan negeri Sabah sebagai penyelesaian jangka pendek bagi masalah akses Internet di negeri itu.

Peralatan satelit itu akan dimanfaatkan penduduk pedalaman sementara menunggu pencawang baru dibina yang dijangka siap pada tahun 2022.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yaakub Khan berkata V-Sat yang diletakkan di bawah program Connectivity Sabah Maju Jaya itu akan membantu menyelesaikan masalah Internet khususnya bagi murid dan pelajar yang menjalani Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Sebenarnya kita di pihak kerajaan dan kementerian telah pun bersedia dengan perancangan untuk menaik taraf dan penambah luas perkhidmatan jalur lebar ini melalui Program Jendela.

"Namun dengan kaedah pembelajaran atas talian yang berlangsung sekarang ini, kita mengambil inisiatif mencari kaedah penyelesaian jangka pendek agar anak-anak sekolah tidak ketinggalan.

"Kerajaan menerusi Kementerian Sains Teknologi dan Inovas bersma Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan V-Sat iaitu talian melalui satelit.

"Pada hari ini kita laksanakan dan esok anak-anak ini tidak lagi perlu belajar di tempat yang kita berdiri sekarang ini," katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Waluhu, Ranau pada Khamis.

Pada lawatan tersebut Yaakub menyaksikan sendiri suasana pembelajaran pelajar dan murid sekolah yang mengikuti kelas dalam talian di sebuah pondok yang didirikan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya sebanyak 300 GigaByte diperuntukkan bagi kampung tersebut dan untuk bulan pertama penggunaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Pihak kerajaan melalui kementerian ini juga akan memberikan penggunaan secara percuma selama sebulan mulai ia dipasang pada hari ini.

"Kerajaan akan berikan secara percuma selama sebulan dan selepas itu ia perlu ditanggung oleh ibu bapa dan ia akan menelan belanja sekitar RM10 sebulan bagi penggunaan 1GB untuk pelajar dan murid," jelasnya.

Tambah Yaakub, program tersebut yang bermula hari ini akan diselaraskan ke lima buah kampung di lima buah daerah yang telah dikenal pasti berdepan masalah jalur lebar sebelum diluaskan ke hampir 1500 buah kampung di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan melhat serius perkara itu kerana tidak mahu ada lagi jurang penggunaan di bandar dan luar bandar.

"Program ini bukan sahaja dilaksanakan di kampung ini malah ia akan kita perluaskan ke kawsan-kawasan lain.

"Program awal ini kita laksanakan di lima buah kampung dan kita akan melihat pada keberkesanannya dan jika ia mendatangkan manfaat dan membantu menyelesaikan masalah seumpama ini, insya-Allah akan kita perluaskan ke kawasan lain.

BACA: PdPR: Panjat bukit setinggi 150 meter, 5 kali seminggu demi ikuti sesi pembelajaran

"Pihak kerajaan melihat perkara ini dengan serius di mana kita tidak mahu ada jurang perkhidmatan ini antara bandar dan luar bandar," katanya lagi.

Antara daerah terawal yang bakal menerima perkhidmatan tersebut adalah seperti Papar, Penampang dan Sandakan.