KOTA KINABALU:Sabah masih diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 Disember 2020, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Justeru beliau berkata, rakyat khususnya penduduk di negeri itu perlu sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Saya ingin mengingatkan bahawa PKPB masih lagi dilaksanakan di Sabah sehingga 20 Disember 2020 dan kes positif COVID-19 di negeri ini masih mencatatkan tiga angka yang pada pendapat saya masih tidak selamat dan berbahaya.

"Walaubagaimanapun kerajaan negeri telah membenarkan aktiviti-aktiviti dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi secara berperingkat bertujuan memastikan kelangsungan ekonomi negeri ini.

"Sungguhpun demikian, kerajaan masih mewajbkan semua pihak yang terlibat untuk mematuhi arahan-arahan, peraturan-peraturan dan SOP-SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya menerusi sidang media maya yang diadakan di Kota Kinabalu pada Isnin.

Pada sidang media tersebut Masidi memaklumkan penurunan sebanyak dua kes daripada 250 kes pada Ahad kepada 248 kes pada Isnin dengan dua kematian masing-masing satu Kota Kinabalu dan Semporna.

Setakat 6 Disember 2020, Sabah telah mencatatkan 218 kematian akibat COVID-19.

Daripada jumlah tersebut 163 kematian adalah melibatkan warganegara manakala 55 kematian bukan warganegara.