Sabah Memilih: Pembubaran DUN sudah digazet - Shafie Apdal

Radhi Muslim
Ogos 15, 2020 06:16 MYT
Mohd Shafie ketika ditemui sidang media sempena Majlis Penyerahan Geran Tanah di Beluran, pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
'Surat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sudah pun digazet Kerajaan Negeri.'
Itu jawapan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apabila ditanya berkaitan dengan dakwaan surat pembubaran DUN adalah salah.
"Kita serahkan, saya tidak mahu komen yang pasti dia Tuan Yang Terutama (TYT) sudahpun tandatangan.
"Yang pastinya perkara ini sudahpun digazet, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah maklum.
"Dahulu bila mereka minta untuk bubar Dewan saya tidak bubar, selepas itu sekarang bila saya bubar, (mahu) jangan pula bubar," katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Geran Tanah di Beluran, pada Sabtu.
Terdahulu, ada pihak mendakwa surat pembubaran DUN Sabah kononnya tersalah.
Pada 29 Julai lalu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah berjaya memiliki 32 surat akuan bersumpah daripada wakil-wakil rakyat untuk memilihnya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Bagaimanapun, cubaan gabungan 33 ADUN itu gagal selepas gagal menghadap TYT yang kemudiannya memberi perkenan kepada Mohd Shafie untuk memberi laluan pembubaran DUN dan seterusnya mengadakan PRN, dalam tempoh 60 hari bermula 30 Julai.
#Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #pilihan raya #Pilihan Raya Sabah #Sabah Memilih #Shafie Apdal #Suruhanjaya Pilihan Raya