KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membeli vaksin COVID-19 sendiri bagi menampung kekurangan sementara bekalan itu di negeri tersebut.

Sambil menyatakan bekalan vaksin ke Sabah mencukupi, Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat sebagai persediaan kepada sebarang gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejaskan usaha negeri itu mencapai imuniti kelompok.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum bahawa mengikut sumber-sumber yang sahih, ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran yang memberi impak kepada negara-negara yang menggunakan vaksin berkenaan dan Malaysia juga tidak terkecuali.

"Kerajaan negeri akan meminta syarikat milik Kerajaan (GLC) menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk membeli vaksin bagi kakitangan serta pekerja mereka dan selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat.

"Kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera. Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazimnya dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam masa sama, Masidi memaklumkan, GLC seperti Qhazanah Sabah Sdn Bhd telah dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah.

Malah, katanya, Pharmaniaga memunyai kemudahan penyimpanan vaksin di Kota Kinabalu dengan kapasiti pengeluaran Sinovac di kilang Pharmaniaga di Kuala Lumpur ialah empat juta dos sebulan.

Sehubungan itu, mana-mana syarikat-syarikat di Sabah yang berhasrat untuk membeli sendiri vaksin untuk pekerja-pekerja mereka boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah di Kota Kinabalu.

"Kerajaan negeri memberi jaminan pemberian vaksin secara percuma kepada semua penduduk Sabah. Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka ialah bagi mempercepatkan imuniti kelompok dan dalam masa sama pemulihan ekonomi negeri kita," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai pemberian vaksin di Sabah , sehingga semalam 42 peratus penduduk negeri itu telah memperoleh satu dos dan 18.4 peratus sudah melengkapi dua dos.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah turut memaklumkan, pencapaian pemberian vaksin di setiap daerah juga berbeza.

“Sebagai contoh, daerah Beaufort 50.7 peratus penduduk melengkapi pengambilan dua dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah yang mana pencapaian mereka kurang daripada 12 peratus. Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini seterusnya mengambil tindakan segera.

“Pengerusi CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19) di setiap daerah telah diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin memberi taklimat dalam mesyuarat Kabinet negeri dengan memperincikan lima pendekatan mendepani COVID-19 di Sabah.

i) meningkatkan peratusan vaksinasi  dalam kalangan penduduk negeri Sabah sehingga mencapai imuniti kelompok sebelum bulan Oktober 2021.

ii) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan COVID-19.

iii) Menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama COVID-19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.

iv) Mengambil langkah2 dan dasar baharu yg mengimbangi hidup dan tuntutan kehidupan (balancing lives and livelihoods) bagi membolehkan ekonomi Sabah pulih seperti sedia kala dengan pematuhan norma baharu.

v) Kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua SOP dan norma kehidupan seharian yang baharu.

Sehubungan itu, kata Masidi, kerajaan negeri bersetuju dengan pendekatan baharu yang dicadangkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).