KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri merancang menubuhkan satu pasukan khas sebagai persediaan mendepani keadaan COVID-19 sekiranya semakin memburuk.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya juga sudah membentangkan mekanisme pencegahan dan kawalan jangkitan kepada Jemaah Menteri Sabah minggu lalu.

Sambil menjangkakan jangkitan COVID-19 di negeri itu terus meningkat, Dr Rose Nani berkata, pihaknya mempunyai pelan strategik bagi menangani peningkatan ini sekali gus bersedia jika keadaan semakin meruncing.

"Kerajaan negeri dan jemaah menteri Sabah telah setuju beberapa mekanisme bagi pesakit kurang teruk iaitu kategori 1 dan 2 akan dikuarantin di rumah yang mana petugas kesihatan akan memantau setiap hari tahap kesihatan pesakit.

BACA: COVID-19: 2,413 kes positif di Sabah, 99 peratus daripada kategori 1 dan 2

"Tetapi semua ini perlu melihat kepada keadaan rumah sama ada sesuai untuk dikuarantin di rumah atau dibawa ke PKRC.

"Jemaah Menteri Sabah juga bersetuju pesakit kategori 3 hingga 5 akan dimasukkan di hospital untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.


COVID-19 | Peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 Sabah

Mengulas mengenai peningkatan kes mendadak sejak 30 Julai lalu hingga Sabah mencatatkan angka empat digit bagi kes positif baharu, Dr Rose Nani berkata, vaksinasi adalah kunci kepada usaha menurunkan kes.

Katanya, pendekatan mengurung atau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bukan lagi keutamaan.

"Oleh yang demikian, pendekatan untuk mengawal jangkitan adalah yang memvaksinasi semua orang. Dengan langkah ini, semua orang akan imun, jangkitan semula jadi dapat dikurangkan.

"Sebagai contoh, 80 ke 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) disebabkan mereka belum divaksinasi," katanya.