Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan memberi jaminan akan mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, perkara itu akan diperhalusi sebaik sahaja kajian semula mengenai Perjanjian Malaysia 1963 diselesaikan sepenuhnya.

“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Malaysia ke-55 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta barisan jemaah kabinet Persekutuan dan Negeri.


Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, kajian semula terhadap M63 itu pasti akan menimbulkan semula keperluan penilaian semula terhadap beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini.

Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri ke negeri ini selepas beliau dipilih semula mengetuai kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir turut memberi jaminan untuk meneruskan tanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak, serta mencari jalan untuk memajukan infrastruktur mengikut kehendak dan keperluan rakyat di dua negeri ini.

Namun, ujarnya lagi, beliau mengharapkan agar rakyat di Sabah dan Sarawak untuk turut memahami ada sesetengah negeri di Semenanjung yang masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan berterusan dari Kerajaan Pusat.

“Saya yakin hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat ‘reciprocity’ atau timbal balik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau ‘encumberances’,” katanya lagi.