KUALA LUMPUR: Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan beliau bakal kembali bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Jun depan.

Perkara itu dimaklumkan Nik Ezanee ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Jelasnya, beliau akan mula bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bermula 1 Jun ini.

"Saya dah bincang dengan Pengarah JPJKK, saya akan lapor pada 1 Jun depan. Macam saya kata, kepakaran saya dalaman, apa yang ada dalam diri saya patut dicurahkan ke mana-mana jabatan.

"Alhamdulilah, saya teruja, tetapi saya kena pergi sana dan lapor sana dulu di JPJKK dan tengok tugasan apa semua dan lihat apa yang boleh saya sampaikan dan tambah nilai," jelasnya ringkas pada Isnin.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid mengesahkan pertukaran bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Selangor itu.

Nik Ezanee sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri sejak Disember lalu.

PDRM | Sedia ke lapangan, selepas bina pengalaman di PMO