KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia mulai hari ini hingga 20 Okt.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata, kunjungan tersebut menggambarkan hubungan erat dan komprehensif antara dua negara jiran.

"Ini akan memberi kesempatan bagi kedua belah pihak untuk mengeksplorasi inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca pandemik COVID-19, serta dalam menangani isu serantau dan antarabangsa.

"Saifuddin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia Joko Widodo serta mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya PYT Retno L P Marsudi.

"Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi dan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ASEAN," kata Wisma Putra hari ini.

Ia turut memaklumkan, program lawatan yang lain termasuk sesi forum interaktif bersama Universitas Paramadina dan Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), perjumpaan dengan Kamar Dagang Indonesia (KADIN) dan pertemuan dengan pelajar serta diaspora Malaysia di Jakarta.

"Ini adalah lawatan pertama sejak pelantikan semula Saifuddin pada 30 Ogos lalu dan lawatan itu turut akan diiringi oleh pegawai dari Wisma Putra.

"Lawatan ini akan diadakan dengan sepenuhnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara," ujarnya.