Saifuddin hadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel Ke-26 di Rwanda

Bernama
Jun 21, 2022 04:39 MYT
Saifuddin juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar CHOGM ke-26 untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-26 yang akan diadakan di Kigali, Rwanda dari 21 hingga 25 Jun.
Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tema CHOGM tahun ini adalah 'Delivering A Common Future: Connecting, Innovating, Transforming'.
"Tema ini dilihat relevan dengan keadaan semasa di mana komuniti global sedang berdepan dengan kesan pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan jurang perbezaan ketara daripada segi pengagihan kekayaan, akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan pembangunan sosio-ekonomi.
"Ketua-ketua Kerajaan Komanwel akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai cabaran semasa yang akan menjejaskan keluarga Komanwel ke arah mencapai pembangunan mampan dan inklusif," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Ketua-Ketua Kerajaan juga akan membincangkan perkembangan politik dan ekonomi global semasa, serta isu berkaitan tadbir urus kerajaan dan kedaulatan undang-undang, pembangunan mampan, pemulihan pasca COVID-19, belia, serta teknologi dan inovasi.
Satu kenyataan CHOGM 2022 serta tiga dokumen hasil - Deklarasi Kigali mengenai Reformasi Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak; Commonwealth Living Lands Charter: A Commonwealth Call to Action on Living Lands (CALL); dan Deklarasi Perbandaran Lestari dijangka akan diperakui pada penghujung Sidang Kemuncak.
Saifuddin juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya di luar CHOGM ke-26 untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.
Beliau juga akan bertemu dengan Keluarga Malaysia yang menetap di Rwanda, kata Wisma Putra.
Mesyuarat CHOGM ke-26 merupakan acara dwitahunan, yang sepatutnya diadakan pada 26 hingga 27 Jun 2020, tetapi telah ditunda sebanyak dua kali akibat penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #CHOGM #rwanda #komanwel