Penyandang kerusi Parlimen P.88 Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah menawarkan percantuman bandar Mentakab dan Temerloh sebagai antara teras strategik aku janji khusus untuk kawasan berkenaan.

Calon Barisan Nasional itu mengemukakan idean berkenaan untuk membawa pembangunan berasaskan inovasi serta pada masa sama, memperkasakan warisan dan tradisi yang menjadi kekuatan kawasan berkenaan.

“Kita bercakap pasal pembangunan infrastruktur dan pada masa yang sama kita bercakap tentang menghidupkan warisan dan tradisi semua kaum di Malaysia,” kata beliau semasa melancarkan aku janji khusus BN Temerloh di Mentakab, hari ini.

Percantuman bandar Mentakab-Temerloh dilihat langkah strategik untuk menjana aktiviti perekonomian yang lebih seimbang serta bermatlamat mengubah aktiviti pertanian dan perikanan berasaskan teknologi tinggi

“Bagi merealisasikannya, kerjasama erat dengan PBT dan masyarakat setempat amat diperlukan. Saya bagi tempoh antara 5 hingga 10 tahun," jawab Saifuddin ketika ditanya mengenai pelaksanaan idea tersebut.

Mentakab adalah kawasan Dewan Undangan Negeri yang terletak dalam kawasan Parlimen Temerloh.
Selain itu juga, idea berkenaan secara tidak langsung menerapkan budaya pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam kalangan rakyat terutama generasi muda.

“Selama ini orang hanya makan ikan patin sahaja tetapi khasiat di sebaliknya juga boleh dipromosikan. Ini memerlukan R&D,” kata beliau yang menerangkan hubung kait setiap janji-janjinya.

Aku janji khusus itu juga turut menggariskan enam bidang pembangunan tumpuan serta 27 janji yang menyuntik nilai tambah kepada pembangunan sedia ada.

Ia merangkumi pendidikan dan latihan; kesihatan dan kecergasan; pekerjaan dan ekonomi; agama dan sosio-budaya; prasarana dan kemudahan asas serta partisipasi dan masyarakat sivil.

Turut jadi tumpuan, janjinya menyediakan kemudahan wi-fi di setiap perpustakaan sekolah dan meningkatkan keberkesanan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh yang beliau perkenalkan penggal lalu.

Pada PRU-13 ini, Saifuddin yang terkenal dengan pendirian dan perwatakan seorang ‘reformis' di dalam UMNO bakal dicabar anak muda yang popular dalam Pas iaitu Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hasan.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, Saifuddin menang mengalahkan calon Parti Keadilan rakyat (PKR), Ahmad Nizam Hamid dengan majoriti 2,441 undi.

“Saya ucapkan selamat datang kepada beliau di Temerloh,” mesej anak jati Temerloh itu kepada pencabarnya yang bukan anak tempatan.

P.88 Temerloh mempunyai 66,105 pengundi berdaftar dengan majoriti lebih 63 peratusnya adalah pengundi Melayu.

Golongan kelas menengah dan ke bawah adalah membentuk dua pertiga pengundi. Selain Mentakab, kawasan ini juga mengandungi dua lagi kerusi DUN iaitu Lanchang dan Kuala Semantan.

Berdasarkan kajian KITA-MESRA UKM, lebih 55 peratus responden bersetuju bahawa segala program pembangunan yang diterajui oleh Saifuddin selalu wakil rakyat penggal lalu berjaya mencapai matlamatnya.

Ini mendesak Saifuddin berusaha menterjemah aspirasi transformasi di peringkat pusat ke setiap segmen masyarakat di kawasannya.

Ia bertepatan dengan senario di Temerloh yang menyaksikan pengundi lebih cenderung berminat mendengar isu-isu setempat berbanding kempen yang menyentuh isu-isu nasional.