Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan Pakatan Rakyat menolak tawaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memberi ruang kepada semua parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang untuk membentangkan manifesto masing-masing selama 10 minit.

Bagaimanapun katanya, beliau memahami bahawa ada kecederungan ke arah perbincangan politik yang lebih tinggi iaitu debat antara pemimpin parti politik.

"Saya kesal kerana tawaran RTM untuk setiap parti membentangkan manifesto PRU-13 ditolak (oleh Pakatan Rakyat)," katanya dalam satu kiriman mesej kepada Astro Awani.

Saifuddin mengulas pengumuman penolakan oleh Parti Keadilan Rakyat dengan alasan masa 10 minit yang ditawarkan itu sebagai "suatu penghinaan terhadap kepintaran rakyat."

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang media hari ini berkata, kerajaan sepatutnya memastikan media memberikan liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama kepada semua pihak.

Kenyataan Nik Nazmi ini bercanggah dengan pandangan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dari PKR kepada Astro Awani dalam program Menuju PRU-13 pada Isnin.

Sebelum ini, rakan PKR dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP, juga menolak tawaran masa yang diberikan itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS menolak tawaran tersebut kerana ia bukan siaran langsung sebaliknya hanya satu rakaman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula dalam menyatakan pendirian partinya berkata, DAP menolak tawaran itu kerana tidak ia dijadikan alasan bahawa pemerintah telah menyediakan akses media yang saksama kepada semua parti.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim Jumaat lalu mengumumkan bahawa semua parti politik

Dibenar untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi siaran RTM selama 10 minit selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Peluang itu diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan juga pihak pembangkang tetapi ia akan dirakam terlebih dahulu.

"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit, dan kami beri peluang ini sekaligus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang.

"Tinggal lagi sama ada mereka menggunakannya atau tidak, ini terserah kepada mereka, tetapi kami di kementerian telah bersedia untuk melaksanakannya," katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.