IPOH: Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Zakaria Kasa dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan salah guna kuasa, sembilan tahun lalu.

Zakaria, 65, boleh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo mengetepikan keputusan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh sebelum ini yang melepas dan membebaskan tertuduh.

Pada prosiding itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan hukuman denda dan ia perlu dijelaskan pada tarikh hukuman itu hari ini.

Mahkamah juga menetapkan jaminan RM10,000 dikekalkan sementara rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarah Mohd. Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI untuk memasukkan nama Mohd Fauzi Zakaria iaitu anak lelakinya untuk dipanggil temu duga pada 12 September 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim pada 24 Jun hingga 12 Sept 2014.

Tertuduh yang bersara pada 2017 didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala Zakaria diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.