ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan empat pegawai kanan termasuk ketua eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dan kedudukan membabitkan dana bernilai RM2.2 juta.

Menurut sumber, semua suspek yang berumur antara 49 hingga 58 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas hadir memberi keterangan antara pukul 3.45 petang sehingga 4.15 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati CEO bersama-sama tiga lagi pegawai kanan syarikat terbabit telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

"Mereka dipercayai menyalurkan sejumlah dana syarikat tersebut yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta ke dua syarikat yang mereka mempunyai kepentingan di dalamnya.

"Kesalahan itu dipercayai dilakukan pada tahun 2016 sehingga 2019," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan berkenaan dan memberitahu mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar bagi permohonan reman esok.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.