Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub membayangkan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan hari ini dijangka membawa keputusan gembira dan harapan baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam menyelesaikan isu Menteri Besar di Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan ke 55 di Pengkalan Chepa.

“Berdasarkan pengalaman PAS yang telah enam dekad di persada politik tanah air dan bukan sekali dua kita hadapi ujian seperti ini, namun saya yakin esok (hari ini) hari gembira dan besok hari yang akan memberi harapan baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat dan khususnya kita dapat selesaikan isu di Selangor,” ujar Salahuddin Ayob selaku Naib Presiden PAS.

Katanya dalam mesyuarat tersebut semua ahli jawatankuasa boleh memberikan pandangan masing-masing dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Keputusan yang bakal dibuat nanti merupakan pendirian PAS dan semua ahli parti perlu akur dengan ketetapan yang dibuat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membuat sidang media selepas mesyuarat berkenaan yang dijangka bersidang jam 10 pagi.