Sampai bila agenda transformasi sektor kesihatan terganggu dengan permainan politik? - Dr Zainal Ariffin

Firdaus Azil
Ogos 17, 2021 08:21 MYT
Agenda transformasi sektor kesihatan terhenti setiap kali kerajaan bertukar, walaupun perkara itu sudah dipersetujui sekian lama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Agenda transformasi sektor kesihatan tidak boleh diletakkan di atas bahu Kerajaan Persekutuan, atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Beliau berkata, sejarah menyaksikan agenda itu sentiasa terhenti setiap kali kerajaan bertukar, atau menteri baharu dilantik, walaupun perkara itu sudah dibincangkan sejak sekian lama.
Katanya lagi, keadaan negara yang dilanda krisis pandemik COVID-19, seharusnya membuka mata semua pihak bahawa sistem kesihatan tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat, sebaliknya diletakkan di bawah pengawasan suruhanjaya.
“Yang pertama, kita cadangkan supaya KKM atau sektor kesihatan diselia di bawah suruhanjaya, jadi boleh susun perkara yang penting pada masa yang tepat, dan tidak bergantung pada Pusat macam sekarang.
“Selain itu kita mesti libatkan sektor (kesihatan) swasta yang sekarang memang terpisah. Kita juga perlu memperkukuhkan. Ketiga perkukuhkan primary health care. Jadi orang di kawasan kampung juga boleh dapat kepakaran sama seperti di bandar,” katanya lagi.
Selain itu, Dr Zainal Ariffin turut mencadangkan agar belanjawan untuk sektor kesihatan perlu dipertingkatkan lagi memandangkan ia pada masa kini adalah kurang dari 5 peratus Keluaran Negara Kasar (KNK).
Namun, tegasnya lagi, semua ini perlu mempunyai keinginan politik yang kuat oleh pembuat dasar, dengan mengambil kira kesejahteraan dan kesihatan rakyat sebagai keutamaan.
BACA: Tumpuan di Istana Negara untuk majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong
Panggilan Video | Pembentukan Kabinet baharu, siapa Perdana Menteri ke-9?
Ketika ini, negara menyaksikan ketiadaan Ahli Jemaah Menteri, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya pada Isnin, ekoran tiada sokongan yang mencukupi dalam Dewan Rakyat.
Beliau mengambil tindakan sedemikian selepas 15 Ahli Parlimen UMNO memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka tidak lagi menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.
Namun, Istana Negara dalam satu kenyataan susulan semalam memaklumkan, Agong telah berkenan agar Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sementara buat waktu ini, bagi memastikan urusan pentadbiran negara masih berjalan.
Mengulas lanjut, Dr Zainal Ariffin berkata, mereka yang berada di dalam sektor kesihatan berasa kecewa kerana agenda transformasi kesihatan yang telah dipersetujui sejak sekian lama, akan terganggu setiap kali Pilihan Raya Umum atau pertukaran kerajaan.
“Dah diadakan kajian teknikal, bahawa (agenda) ini terbaik untuk negara. Kerajaan semasa juga bersetuju. Malangnya apabila menghampiri pilihan raya, kita punya political will menjadi lemah., dan ia ditangguhkan sehingga kerajaan baharu.
“Bila kerajaan baharu datang, ambil lagi masa… dan menghampiri PRU, semangat atau political will jadi lemah. Sudah 20 tahun kita bercakap pasal transformasi kesihatan yang dipersetujui,” ulasnya lagi.
Justeru beliau berpandangan, apabila kerajaan baharu dilantik kelak, agenda menangani COVID-19 perlu diberi keutamaan, selain mengharapkan agar transformasi sektor kesihatan dapat dilaksanakan sesegera mungkin.
#Sektor kesihatan #transformasi #Dr Zainal Ariffin Omar #Kementerian Kesihatan #KKM #Perdana Menteri #pilihan raya umum #Parlimen #Dewan Rakyat #COVID-19 #Yang di-Pertuan Agong #pandemik