JOHOR BAHRU: Dugaan bertimpa-timpa buat pekerja kilang, Ezwan Othman, 42, apabila terlibat dalam kemalangan tiga kali dalam tempoh enam tahun.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, kini tangan kanan Ezwan terpaksa dipotong paras pergelangan tangan kanan apabila alat pemadam api yang dipegangnya meletup ketika sedang bekerja pada 23 Ogos lalu.

"Kali ketiga kemalangan tempat kerja; ujian teruk juga sampai anggota tangan tak ada," kata Ezwan.

Susulan kejadian, dia dibawa ke hospital oleh majikan sebelum dibenarkan pulang tiga hari kemudian.

"Semasa kejadian itu saya sedarkan diri, tahu-tahu tangan dah tak ada. Tak rasa apa sampailah saya balik rumah.

"Tuhan pinjamkan tangan sampai umur saya 42 tahun. Itulah yang saya fikirkan sebab nak teruskan kehidupan," kata Ezwan.

Menceritakan detik malang yang menimpanya sebelum ini, Ezwan berkata kaki kirinya digilis lori semasa pulang bekerja pada tahun 2017 menyebabkan dia mengalami cacat kekal.

Dua tahun kemudian, Ezwan berkata dia terjatuh dari bumbung rumah semasa membaiki atap yang bocor menyebabkan dia patah pinggul.

Pasrah dengan keadaannya itu, apa yang lebih dibimbanginya ialah kehidupan dua cahaya mata berusia dua tahun, 39 hari, serta isteri yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Ezwan yang menetap di rumah pusaka di Taman Saujana, di sini, tidak lagi bekerja sejak kejadian malang pada Ogos lalu.

Nasib Ezwan mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Mohd Hairi berkata beliau akan membantu menyegerakan bantuan faedah hilang upaya kekal Perkeso buat Ezwan.

Menurutnya, nilai faedah itu akan diketahui selepas penilaian jemaah doktor, sejurus faedah hilang upaya sementara tamat.

Mohd Hairi dalam pada itu turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Ezwan.