KOTA KINABALU:Sebanyak 10,400 sampel ujian COVID-19 membabitkan penduduk di kawasan berisiko tinggi dan zon merah belum diproses, kata Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, proses yang tertunggak tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kelewatan keputusan ujian itu turut menjadi antara punca peningkatan statistik di Sabah.

"Mengikut statistik Jabatan Kesihatan negeri, masih ada sekitar 10,400 sampel-sampel lama yang belum diperoses.

"Ini bermakna sedikit sebanyak (kita akan melihat) peningkatan angka dalam beberapa hari ini... kerana ia menyumbang kepada jumlah yang kita catat apabila sampel-sampel ini diproses.

"Kita mengharapkan Jabatan Kesihatan dapat menyelesaikan ujian sampel yang tertunggak ini dalam masa tiga atau empat hari lagi.

"Kalau itu berlaku... bermakna kita akan melihat statistik yang lebih rendah selepas itu," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kota Kinabalu pada Isnin.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah hari ini adalah sebanyak 8,755 kes dengan seramai 3,223 pesakit telah sembuh manakala 5,466 pesakit sedang menerima rawatan.