TEMERLOH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Temerloh di sini, hari ini atas empat pertuduhan berbeza dalam satu kejadian samun dan bunuh pada 5 Julai lepas.

K. Yogeswaran, 33, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Siti Zulliana Said, 52, di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera pada jam antara 6.30 pagi hingga 8.00 pagi yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.

Tertuduh bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

BACA: Wanita maut dijerut dengan kabel pengecas telefon ketika disamun

Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 25 Ogos 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasatan serta tiada jaminan ditawarkan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta jenis Honda City berwarna perak milik suami mangsa, Mohd Haris Ibrahim, 58, pada tarikh 5 Julai lalu antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi.

Beliau telah dituduh di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah sekali lagi menetapkan 17 Ogos 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman kes.

Menurut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan seterusnya, Yogeswaran telah didakwa kerana disyaki menggunakan dadah berbahaya jenis methamphetamine di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera lebih kurang jam 12.00 tengah hari pada 8 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) akta yang sama dan dibaca dengan Seksyen 38B akta yang sama.

Samun | Wanita maut dijerut kabel pengecas telefon


Tertuduh memahami setiap pertuduhan yang dibaca dan mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Tarikh sebutan semula kes ini telah ditetapkan mahkamah pada 19 Oktober ini.

Pada masa yang sama, Yogeswaran juga didakwa dengan curang telah melakukan rompak wang tunai RM9,300 milik Mohd Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher di hadapan Hakim Mahkamah Seksen Temerloh, Norakmar Mohd Sani.

Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri dan Ezuain Farhana Ahmad.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Ogos dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Dalam kejadian dua minggu lalu, Siti Zuliana menjadi mangsa samun meninggal dunia di rumahnya selepas didakwa telah dijerut dengan kabel pengecas telefon oleh tertuduh.