SANDAKAN: Sandakan dilanda wabak denggi dan kini merekodkan satu kawasan wabak yang tidak terkawal serta meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, sejak 1 Januari hingga 8 April, sebanyak 53 kes direkodkan di daerah berkenaan.

Angka itu bersamaan dengan 40 peratus berbanding keseluruhan kes pada 2021.

Menurutnya, dalam tempoh sama, tujuh kawasan wabak dilaporkan terlibat dan empat masih aktif sehingga hari ini.

Jelasnya, lokasi wabak tidak terkawal iaitu di Kampung Tinusa Dua yang kini merekodkan lima kes denggi.

“Daripada 53 kes tersebut dia telah mencatatkan tujuh wabak sejak awal tahun dan ketika ini kita ada empat wabak aktif yang sedang dan masih lagi berjalanlah.

"Satu wabak tak terkawal di Kampung Tinusa Dua yang kita berada sekarang dan lagi tiga, di Kampung Pangiran Galpam ada empat kes dan di Taman Fajar Fasa dua ada kes dan kawasan perumahan Sri Taman ada dua kes,” kata Dr Johari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan kerja semburan kabus di Kampung Tinusa Dua, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kes aktif bagi Sandakan ketika ini ialah 13 kes di empat kawasan wabak berkenaan.

Johari berkata, satu kes kematian kanak-kanak lelaki direkodkan di Kampung Tinusa Dua.

Tahun lalu Sandakan mencatatkan 127 kes.

“Setakat ini apa yang kita buat di Pejabat Kesihatan Sandakan melalui team unit denggi kita, kita telah menjalankan pemeriksaan PTP, pemusnahan tempat pembiakan dari rumah ke rumah dan juga di persekitaran yang boleh kita capai.

"Kita pastikan tempat itu tidak ada pembiakan nyamuk ataupun jentik-jentik, dan kita pergi rumah ke rumah. Pada masa sama juga, kita akan buat semburan kabus untuk mematikan nyamuk dewasa, tapi tempat pembiakan kalau masih ada, ia akan keluar balik dewasa yang baharu," kata Dr Johari.

Tambahnya, pihaknya juga melekatkan poster berkaitan tanda jangkitan wabak denggi di rumah-rumah penduduk serta mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan wabak bersama penduduk kampung.

Justeru itu, beliau berharap masyarakat Sandakan segera membersihkan kawasan rumah agar tiada lagi tempat pembiakan nyamuk aedes.