ALOR SETAR: “Saya sangka ajal saya akan habis di dalam tandas walaupun orang kampung cuba tolong tarik tangan saya untuk keluar dari bumbung.”

Demikian detik cemas dilalui Siti Khatijah Ishak, 32, selepas terperangkap lebih 30 minit di dalam tandas ketika kejadian kebakaran di rumah ibunya di di Lorong Fajar dekat Taman Uda di sini Selasa lalu.

Menurut Siti Khatijah, dia diselamatkan anggota bomba selepas berjaya mengangkatnya naik ke atas bumbung bilik air.

“Dengan keadaan panas dengan haba api masa itu saya hanya mampu mengucap dan ingat tidak ada harapan lagi dan saya akan mati lemas kerana asap tebal.

“Nasib saya baik apabila seorang anggota bomba masuk ke dalam tandas dan menolak naik ke atas sementara seorang lagi anggota menarik saya naik ke atas bumbung,” katanya ketika ditemui di rumah yang musnah dalam kebakaran hari ini.

BACA: 18 penghuni rumah hasil bantuan Ustaz Ebit Lew diselamat dalam kebakaran


Siti Khatijah ditemui di rumah yang musnah dalam kebakaran hari ini. - Foto Astro AWANI

Siti Khatijah berkata, sebaik dia berjaya dikeluarkan dia pengsan dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan sedar beberapa jam selepas berada di dalam wad kecemasan.

Katanya, kejadian itu turut mengakibatkan dua adiknya, Siti Maimunah Ishak, 26, mengalami patah tulang belakang dan punggung manakala Siti Hajar Ishak, 22, patah tulang paha serta tulang punggung sementara anak saudaranya sesak nafas.

Katanya dua adiknya itu masih dirawat di dan Hospital Sultanah Bahiyah.

Bagaimanapun ibunya, Jamaliah Rehab, 58, tidak mengalami kecederaan namun masih trauma dengan apa yang berlaku.

Siti Khatijah merupakan anak ketiga Allahyarham Ishak Darus atau ‘Pak Aq’ yang sebelum ini pernah mendapat liputan media pada tahun 2020 kerana kedaifan hidup.

Kisah keluarga ini juga pernah mendapat simpati daripada pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang membayar sewa rumah yang diduduki 18 beranak ini di Lorong Fajar.

Kebakaran | 18 penghuni sebuah rumah terselamat


Kejadian yang menimpa keluarga ini mendapat perhatian sebuah syarikat konsultan di Alor Setar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wisma Bioshop Ventures Sdn Bhd, Datuk Mohamad Sheikh Mohamad, pihaknya telah mendapatkan sebuah rumah di Derga dan kini dalam proses rundingan bersama pemilik rumah untuk disewa kepada keluarga ini.

“Hasil perbincangan saya dengan tuan rumah dia memberi kadar sewaan RM900 sebulan.

“Saya akan membiayai sewa rumah untuk tempoh beberapa bulan sebelum keluarga ini mampu untuk membayar sendiri.

“Kita juga akan membantu mendapatkan pekerjaan untu anak-anak arwah Pak Aq,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai.

Kejadian yang menimpa keluarga ini mendapat perhatian sebuah syarikat konsultan di Alor Setar. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Siti Khatijah turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana ada pihak yang sudi membantu keluarganya.

Dalam kejadian Selasa lalu, 18 mangsa termasuk seorang bayi berusia setahun enam bulan berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran.