SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dipercayai dibaham buaya diteruskan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna dan penduduk Kampung Pegagau Baru, di sekitar Sungai Pegagau pada awal pagi Isnin.

Mangsa, Azman Tugau, 35, hilang akibat disambar buaya ketika memancing bersama sepupunya, Norman Manan, 21, di tebing berkenaan, kira-kira jam 3 petang Ahad.

BACA: Pemancing hilang dipercayai dibaham buaya di Semporna

Menurut bapa saudara mangsa, Manan Salleh, 70, dia menerima makluman berhubung kehilangan mangsa daripada anaknya yang turut bersama-sama memancing di sungai terbabit.

"Anak saya (Norman) keluar memancing bersama mangsa sejak pagi dan ketika kejadian anak saya juga hampir menjadi mangsa dibaham buaya ketika menyelamatkan sepupunya.

"Dia sempat menarik tangan mangsa tetapi tidak berjaya sehingga pakaian yang dipakainya turut terkoyak akibat serangan buaya. Anak saya kemudian pulang dan memaklumkan bahawa sepupunya telah dibaham buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Azman berkata, ketika ini dia berada di jeti di kampung berkenaan untuk menunggu maklumat daripada pihak bomba berhubung usaha mencari anak saudaranya.

"Saya sekarang di jeti manakala anak saya, Norman turut bersama pasukan bomba untuk mencari mangsa dan sehingga kini kami belum menerima sebarang petanda mengenainya," kata Azman.

Sementara itu, Ketua BBP Air Semporna Faisal Ahmad berkata, seramai lima anggota terbabit dalam operasi SAR mangsa dibaham buaya dan lokasi terletak sejauh 30 kilometer dari balai bomba.

"Operasi SAR yang memasuki hari kedua dimulakan dengan kaedah pencarian di permukaan atas air menggunakan bot penyelamat dengan menyusuri Sungai Pegagau.

"Lokasi kejadian tiada liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) atau talian telefon, jadi maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa oleh pihak bomba," jelasnya. -Sinar Harian