Sarawak bakal lancar BKSS 8.0 bernilai RM285.47 juta

Astro Awani
Januari 25, 2022 10:43 MYT
Kerajaan Sarawak setakat ini telah melaksanakan tujuh pakej bantuan kepada rakyat iaitu iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 dengan 30 program. - Astro AWANI
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pakej berjumlah RM285.47 juta itu bakal menjadi bantuan terbesar yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri di Malaysia.
“Seperti yang dijanjikan dalam sedikit masa lagi, saya akan melancarkan pakej BKSS 8.0 yang melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai untuk terus membantu mengurangkan beban rakyat bernilai RM285.47 juta merangkumi enam bulan pertama tahun 2022.
“Ini merupakan antara kadar bantuan terbesar oleh sesebuah kerajaan negeri di negara ini,” katanya ketika berucap pada Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Jelas Abang Johari pakej BKSS 8.0 melibatkan bantuan-bantuan bukan tunai itu merangkumi enam bulan pertama tahun ini.
Untuk rekod Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM5.30 billion untuk BKSS 1.0 sehingga 7.0.
Jumlah itu tidak termasuk peruntukan khas Kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang bernilai lebih RM91 juta.
#Bantuan Khas Sarawakku Sayang BKSS #Tan Sri Abang Johari Tun Openg #Sarawak #Pusat Konvensyen Borneo Kuching BCCK