Dua kematian terbaharu akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 kes setakat ini.

Kedua-dua kematian dilaporkan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menerusi sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad.

Menerusi sidang media sama, Abdul Karim turut mengumumkan pertambahan 10 kes positif terbaharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 264 setakat ini.

"Sembilan kes terbaharu itu menerima rawatan di HUS dan satu di Hospital Sibu.

"Manakala 50 kes baharu Person Under Investigation (PUI) turut dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,629 kes," ujarnya.

Antara lain JPBN turut mengumumkan enam langkah pengoperasian semasa Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 2 antaranya semua kedai Hardware dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

Penjualan kedai input pertanian (baja, racun dan makanan binatang) dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang, kedai menjual alat tukar ganti (jentera pertanian dan industri) dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

Juga menetapkan bahawa semua bukan warganegara yang melalui (udara, laut dan darat) tidak dibenarkan transit di Sarawak berkuatkuasa serta merta, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu dan Sibu ke Kuala Lumpur dibatalkan sehingga 14 April 2020 serta semua stok makanan untuk diagihkan di semua Daerah telah dihantar mengikut perancangan.