Sarawak catat tiga kes positif COVID-19 hari ini

Syafik Shukri Jalil
Oktober 6, 2020 09:51 MYT
Dua kes positif COVID-19 di Sarawak merupakan kes import B (jangkitan yang mempunyai sejarah perjalanan dalam negara) dan satu jangkitan tempatan. FOTO: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pertambahan tiga kes positif COVID-19 masing-masing melibatkan Kuching, Miri dan Sibu.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 721 kes setakat ini.
Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua kes tersebut merupakan kes import B (jangkitan yang mempunyai sejarah perjalanan dalam negara) dan satu jangkitan tempatan.
Kes ke-719 (kes import B) melibatkan seorang lelaki warga tempatan dilaporkan menjalani ujian saringan di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) setibanya dari Kota Kinabalu, Sabah pada 2 Oktober 2020.
“Kes telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah dan disahkan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020. Kes juga sudah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari sama.
“Sebelum itu kes juga dilaporkan pernah menjalani saringan secara rawak pada 29 Ogos 2020 semasa tiba di KIA selepas pulang dari Sabah namun keputusan ujian saringan adalah negatif,” kata Uggah.
Tambahnya, kes ini kerap menaiki penerbangan ke Sabah atas urusan keluarga dan perniagaan serta pernah melakukan perjalanan sama pada 12 Ogos 2020 namun tiada saringan dijalankan ketika itu.
Bagi kes ke-720 yang juga merupakan kes import B melibatkan seorang wanita warga tempatan yang melakukan perjalanan dari Selangor ke Miri pada 3 Oktober 2020.
“Kes bekerja di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya dan kerap pulang melalui Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri.
“Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri pada 3 Oktober 2020, kes menjalani ujian saringan dan disahkan positif COVID-19 pada 4 Oktober 2020,” tambah Uggah.
Menurutnya lagi, kes mengadu mengalami demam sejak 1 Oktober 2020 dan kini telah dirujuk ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut pada hari sama.
Manakala bagi kes ke-721 (jangkitan tempatan), juga melibatkan seorang wanita warga tempatan yang menjalani saringan pada 3 Oktober 2020 selepas disahkan sebagai kontak rapat kepada kes ke-714.
“Kes diarahkan menjalani kuarantin di rumah pada 3 Oktober 2020 dan disahkan positif pada 5 Oktober 2020.
“Selain itu kes juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau balik dari Sabah dalam tempoh sebulan lepas,”
Kes telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada hari sama dan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan masa pendedahan adalah di antara 30 September 2020 sehingga 2 Oktober 2020 .
Uggah berkata demikian semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Selasa.
#COVID-19 #Sarawak #kes import #Jangkitan tempatan #Kuching #Miri #Sibu #JPBN Sarawak #Kota Kinabalu #Sabah #Petaling Jaya #Selangor