KUCHING: Sarawak akan memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 15 hingga 17 tahun, minggu hadapan.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, usaha itu sebagai langkah memberi perlindungan COVID-19 kepada lebih ramai individu yang layak menerima vaksin di negeri itu.

“Penting bagi kita untuk memberi vaksin sebanyak mungkin kepada orang dewasa yang layak di Sarawak dan kita memulakan vaksinasi ke atas 15 hingga 17 tahun di Sarawak minggu depan,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya pada Jumaat.

Tambah Dr Sim, keberkesanan kadar vaksinasi yang tinggi kepada masyarakat dapat dilihat dalam situasi terkini kes positif COVID-19 di Sarawak.

“Walaupun Sarawak merekodkan lebih 2,500 kes pada Jumaat, hanya 0.04 peratus kes kategori 3 hingga 5 dan tiada kematian dengan 99.9 peratus kes kategori 1 dan 2,” tambahnya.

Ujarnya lagi, setakat Jumaat, Sarawak mencatatkan 83 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa di negeri itu.

Dr Sim yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, program vaksinasi ini memberi laluan kepada masyarakat untuk terus hidup bersama COVID-19.

Ini sekali gus menyediakan suasana lebih selamat untuk membolehkan sektor ekonomi dibuka semula demi kelangsungan hidup rakyat.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) sedang mempersiapkan katil tambahan untuk pesakit COVID-19 di negeri itu.

“JKNS bersama Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Umum Sarawak (HUS) sedang bekerja keras mendapatkan tambahan 1,702 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) bagi pesakit kategori 1 dan 2.

“Kita juga akan terus menambah 1,000 katil lagi untuk beberapa hari yang akan datang tetapi ada had terutama melibatkan tenaga kerja,” katanya lagi.